Rabu, 14 Oktober 2009

Sejarah Kumpulan "SEARCH"



Pada awalnya, kumpulan Search dianggotai oleh empat anak muda yang berasal dari Johor dan anggotanya terdiri daripada Yazit (drum), Hillary Ang (gitar), Memek (bass) dan Zainal (gitar dan penyanyi yang juga bekas ahli kumpulan Rampa. SEARCH ditubuhkan oleh Yazit, pemain drum bagi kumpulan Search. SEARCH ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 1981. Search mula mengadakan persembahan secara live di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur sejak tahun 1980-an lagi. Album Search yang pertama ialah Cinta Buatan Malaysia yangg telah diterbitkan pada tahun 1985. Ketika ini, tempat Zainal telah digantikan oleh Amy sebagai penyanyi, Nasir menggantikan Memek sebagai pemain bass dan kemasukan Din sebagai pemain gitar kedua. Amy seorang "piano tuner" telah diambil bagi menggantikan tempat Zainal sebagai penyanyi. Seorang pemain gitar kedua iaitu Din juga diambil untuk berganding dengan Hillary. Tidak lama selepas itu, Hillary dan Nasir kemudiannya telah meninggalkan kumpulan SEARCH dan tempat mereka telah digantikan oleh Man Kidal selaku pemain gitar dan Yan pemain bass, satu nama besar dalam dunia rock tanah air yang juga pengasas Kumpulan Lefthanded. Cara berpakaian dan penampilan setiap ahli kumpulan SEARCH menjadi ikutan para remaja dengan imej artis berambut panjang dan pakaian yang menjolok mata telah menyebabkan pihak RTM bertindak menggam semua penyanyi berambut panjang daripada muncul dikaca TV. Kumpulan SEARCH telah menghasilkan album pertama mereka di bawah POLYGRAM Record berjudul "CINTA BUATAN MALAYSIA". Album ini telah menjadi salah satu detik permulaan bagi sejarah perkembangan rock tanah air terbitan M.Nasir. Man Kidal dan Yan kemudiannya telah meninggalkan Search untuk kembali menyertai Kumpulan Lefthanded. Tempat mereka digantikan oleh Hillary dan Nasir. Search kemudiannya menghasilkan lagu-lagu berentak slow seperti Meniti Titian Usang, Bisa, Kau Pergi dan Rozana, serta lagu berentak heavy seperti Musnah, Pasti & Langit dan Bumi. Apabila berlaku perbalahan dengan POLYGRAM Record, Hillary kemudiannya telah meninggalkan Search, digantikan oleh Kid, adik kepada Din dan bekas gitaris Kumpulan Gersang.

Perancangan yang rapi oleh pihak BMG dan melalui syarikat Search iaitu GO-SEARCH menjadikan kumpulan SEARCH begitu popular di Indonesia, Singapura dan Brunei Darus Salam. Kumpulan SEARCH juga telah bergabung tenaga dengan kumpulan Wings (waktu itu Awie masih menjadi penyanyi utama WINGS) dalam album Double Trouble yang diterbitkan oleh M.Nasir. Apabila Nasir meninggalkan Search untuk membuka syarikat penerbitan beliau sendiri, Dangaroos, tempatnya digantikan oleh Yan. Yan sekali lagi meninggalkan SEARCH untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja sessionist, sebelum kembali ke kumpulan Lefthanded sekali lagi. Tempatnya kembali digantikan oleh Nasir. Fauzi kemudiannya menyertai Search sebagai bass, dan tidak lama kemudian Amy telah menarik diri. Search kemudiannya bergabung dengan Awie dan menghasilkan album "SEARCH & AWIE - Bikin Wilayah". Yazit kemudian berganding dengan kumpulan Search generasi baru untuk menghasilkan album "SEARCH, SELEPAS BANJIR". Bersama Yazit adalah Shah (pemain gitar - bekas anggota kumpulan Exist dan pengasas kumpulan Slam). SEARCH generasi baru ini hanya bertahan untuk satu album, Selepas Banjir. Akhirnya pada 16 Jan 2001, nama SEARCH telah dibekukan dan untuk meneruskan legasi SEARCH, sebuah kumpulan baru Rampage telah ditubuhkan. Pembekuan SEARCH merupakan satu kehilangan besar bagi peminat muzik rock tempatan. Sepanjang karier mereka, SEARCH merupakan salah satu contoh terbaik bagaimana sesebuah rock band patut wujud. Setelah hampir 5 tahun berpecah, pada tahun 2004, Amy, Kid, Din dan Nasir telah bergabung semula dalam Konsert Evolusi di Stadium Merdeka dengan disaksikan hampir 50 ribu penonton yang telah menantikan aksi mereka setelah sekian lama. Namun barisan kali ini tidak menampilkan Yazid sebagai pemain drum tetapi telah digantikan oleh Lola yang pernah bermain untuk Kumpulan XPDC dan Lefthanded. Sejurus selepas penggabungan semula itu, SEARCH berhasrat untuk menghasilkan sebuah lagi album berjudul "Empire Garden". Malangnya setelah 2 tahun album yang diwar-warkan tidak dapat diterbitkan kerana masalah dalaman. Pada 2006, akibat krisis dalaman yang melanda, Din dan Kid telah disingkirkan dari kumpulan ini. Tempat mereka telah digantikan kembali oleh Hillary yang merupakan antara pengasas kumpulan SEARCH. Dengan kemasukan Hillary ini, mereka telah berjaya membuat album "Gothik Malam Edan" dalam masa 2 bulan juga pada tahun 2006 ini dengan Edrie Hashim bertindak sebagai penerbit. Album ini mendapat bantahan ramai peminat-peminat fanatik SEARCH kerana perubahan aliran muzik yang ditampilkan. Walaupun begitu, SEARCH melakukan perubahan ini kerana tidak mahu berada di takuk lama dengan sejajar dengan perubahan muzik dunia yang sudah berkembang. Sempena 25 tahun SEARCH di dalam industri muzik Malaysia, mereka ingin melakarkan satu lagi episod bersejarah dengan mengadakan konsert ulang tahun ke-25 mereka dengan kumpulan SLANK dari Indonesia sebagai penyanyi undangan. Setelah 2 kali ditunda, akhirnya tarikh konsert yang ditetapkan jatuh pada 5 Januari 2007 di Stadium Merdeka dan 7 Januari 2007 di Stadium Larkin, Johor Bahru. Malangnya, pada penghujung tahun 2006, rakyat Malaysia dikejutkan dengan banjir besar di Johor menyebabkan SEARCH terpaksa menunda konsert ini ke tarikh lain. Namun ketika saat akhir persiapan konsert sedang dijalankan, SEARCH telah bertindak menarik diri dari menjayakan konsert tersebut. Penarikan diri ini dilakukan kerana pihak penganjur iaitu Tiga Events Sdn. Bhd. telah gagal memenuhi beberapa specifikasi SEARCH yang menginginkan sebuah konsert ulang tahun yang hebat sedangkan SEARCH hanya mahu yang terbaik untuk dipersembahkan kepada peminat-peminat mereka. Disebabkan SEARCH tidak mahu konsert itu disamakan dengan konsert-konsert biasa lain seperti Jom Heboh, SEARCH sanggup menarik diri dari menyertai S2 Celebration Concert yang dianjurkan oleh Tiga Event (anak syarikat TV3). Kini, Search masih lagi bergiat aktif dan Yazit telah kembali kepada kumpulan Search.
Sejarah Kumpulan "WINGS"



Kumpulan Wings merupakan sebuah kumpulan penyanyi irama 'rock' di Malaysia.Sejarah penubuhan Kumpulan Wings bermula pada sekitar tahun 1985 di Sekolah Menengah Sri Ampang di Kuala Lumpur. Di situlah empat orang anak muda yang masih menuntut bergabung tenaga membentuk sebuah pancaragam sekolah. Oleh kerana terdorong dan amat meminati muzik terutama berirama rock, mereka sepakat untuk mendendangkan lagu berentak Rock'N'Roll di sepanjang persembahan yang mereka lakukan. Bermulalah kelahiran kumpulan Wings tetapi kumpulan ini masih belum mempunyai nama. Anggota asal kumpulan Wings ialah Awie, Jojet, Joe, Sham. Perpecahan melanda kumpulan ini apabila Jojet telah berhijrah ke kumpulan Gersang dan Joe mengundurkan diri. Pada awal tahun 1987, Wings mendapat tawaran untuk merakamkan album di bawah label ASP dan nama WINGS digunakan sebagai nama kumpulan ini. Ilham penggunaan nama WINGS sebagai nama kumpulan dicetuskan oleh Awie apabila orang ramai selalu menegurnya kerana lengannya yang berotot atau lebih tepat seperti 'sesayap' (wing). WINGS bertungkus-lumus menyiapkan album pertama mereka berjudul Belenggu Irama dengan bantuan dua anggota baru iaitu Eddie dan Black yang menggantikan tempat Jojet dan Joe selain Awie dan Sham selaku anggota asal. Pada masa itu, pengurus kumpulan WINGS adalah Bob Lokman. Pada ketika muzik rock mula mendapat tempat, kemunculan sebuah kumpulan seperti Wings sememangnya menghangatkan arena muzik rock tanah air. Wings tampil dengan kelainan tersendiri di mana muzik yang dibawakan oleh mereka cukup mantap walaupum ini adalah album pertama. Dengan susunan muzik yang baik dan vokal yang bertenaga serta dibantu oleh penggubah terkenal seperti M. Nasir, J.S Kevin, perjudian pertama Wings di persada seni tanah air menampakkan hasil apabila album ini mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun mereka terpaksa berdepan dengan masalah iaitu lagu-lagu mereka tidak dibenarkan penyiarannya di radio dan TV oleh RTM, pencinta muzik rock tetap dapat merasai bahang ‘Belenggu Irama’ ini. Lagu-lagu seperti Belenggu Irama, Intan Ku Kesepian dan Peronda Jaket Biru adalah antara lagu yang menjadi kegilaan remaja Malaysia ketika itu. Pihak RTM tidak memberi kelulusan penyiaran terhadap lagu-lagu Wings atas alasan lirik, lagu dan latar belakang Wings yang dikatakan keterlaluan dan tidak menepati syarat untuk disiarkan. Halangan ini sedikit sebanyak menghantui diri mereka. Namun, berkat ketabahan dan sokongan rakan dan peminat yang berdiri teguh di belakang, Wings berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran, album ini dikatakan telah terjual lebih 60,000 unit.Selepas itu, populariti Wings terus meningkat. Konsert mereka sentiasa mendapat perhatian ramai dan rata-rata para peminat amat terhibur dengan persembahan Wings yang mantap dan mempunyai identiti tersendiri. Akan tetapi, tidak berapa lama selepas itu pertukaran ahli berlaku di mana Sham yang sebelum ini bertindak sebagai pemain gitar telah menarik diri dan kekosongan ini digantikan oleh Joe, seorang gitaris kidal belasan tahun yang sebelum itu merupakan anggota kumpulan rock Scandals. Kehadiran Joe menambahkan lagi kemantapan Wings kerana beliau sungguh kreatif dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam permainan gitar.
Penyanyi Utama:
1. Awie (Ahmad Azhar Othman) 1985-1993. 2002-hari ini.
2. Mel (Ismail Zainuddin) 1995-1996
3. Mus (Mustafa Din) 1996-2001
Pemain Gitar:
1. Sham (Sham Baharom) 1985-1987
2. Tham Wing Kwan 1987 (Tiada Album)
3. Joe (Abd Zamin Abd Kadir) 1988-kini.
Pemain Bass:

1. Eddie (Samsaidi Haji Ulong Idris) 1985-kini.
Pemain Drum:
1. Black(Azmi Hashim) 1985-1990. 1994-kini.
2. Jojet 1990-1993
Berikut diceritakan secara ringkas sejarah angota kumpulan Wings. Joe pernah manganggotai kumpulan Scandals sebelum memasuki Wings. Black keluar dari Wings setelah album Teori Domino dikeluarkan dan digantikan dengan Jojet, bekas ahli kumpulan Gersang. Black kembali menjadi pemain drum Wings pada tahun 1994 setelah Jojet pula keluar dari Wings. Sejarah pertukaran penyanyi utama kumpulan Wings cukup menarik. Awie yang sudah cukup sebati dan merupakan salah satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan Wings di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka. Dua tahun kemudian barulah pengganti Awie ditemui. Mel, penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama Wings dan album Orang Asing di hasilkan. Walau bagaimanapun jodoh Mel dengan Wings tidak kekal berpanjangan. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari Wings dan Wings bernasib baik kerana tempat beliau diganti oleh Mus, bekas penyanyi utama kumpulan May yang seangkatan dengan Wings. Sebenarnya telah lama kedengaran ura-ura yang Mus akan memasuki kumpulan Wings. Sebab itulah setelah Mel dan Wings nyata tidak serasi, Mus segera menerima tawaran dari Wings untuk bersama tiga lagi anggota Wings meneruskan misi perjuangan mereka di bidang seni tanah air. Sebanyak enam buah album termasuk satu album kompilasi sudah dihasilkan dalam tempoh pembabitan Mus bersama Wings dan vokal Mus makin serasi dengan muzik Wings. Album terakhir Mus bersama Wings adalah Mr. Barbarik. Mus kemudian kembali ke kumpulan asalnya, May dan tempatnya digantikan semula oleh penyanyi asal Wings, Awie. Dengan penggabungan kembali Awie sebuah album telah terhasil, Naga Kramat. Kini Kumpulan Wings masih lagi diterima peminat-peminat yang merindukan zaman kegemilangan mereka. Ironinya, walaupun Wings telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran, terutama sekali apabila vokalis utama mereka Awie memgambil keputusan untuk menarik diri dan bergerak secara solo, namun Wings masih lagi mampu mempertahankan reputasi mereka dalam industri muzik rock tanah air. Mereka tidak cepat melatah untuk terus membubarkan kumpulan Wings, lantas mengambil inisiatif dengan menerbitkan album Wings & Superfriends 1 & 2, yang menggabungkan beberapa artis rock popular tanah air. Ini membuktikkan bagi mewujudkan sebuah kumpulan muzik, mereka tidak seharusnya bergantung kepada kredibiliti penyanyi semata-mata tetapi perlu mengambil inisiatif bagi memastikan Wings terus bertahan dan kekal sebagai salah sebuah kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia.
Sejarah Kumpulan "MAY"



Kumpulan MAY adalah kumpulan rock lagenda. Mereka dikenali bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh nusantara ini. MAY bukan sahaja berbakat bermain alat muzik tetapi boleh juga mencipta lagu dan kesemua album mereka diterbitkan sendiri oleh mereka sendiri. Kumpulan MAY telah ditubuhkan pada tahun 1986 oleh empat anak muda yang berasal dari Manjong, Perak. MAY adalah pangkal huruf bagi Man (ketua/drummer), Mus (vokalis), Abu (guitar utama) dan Yus (bassist). Mulanya MAY adalah ketika mereka menyertai pertandingan Juara- Juara Rock 1986. Dalam pertandingan tersebut, MAY telah dinobatkan sebagai juara. MAY berjaya mengalahkan kumpulan kumpulan hebat yang lain seperti Febians, Metalian dan Scandals. Mus telah memenangi anugerah vokalis terbaik dalam pertandingan tersebut. Sebelum terkenal, MAY selalu mengiringi konsert bersama kumpulan SYJ. Album pertama MAY diterbitkan pada tahun 1987 berjudul 'Dilema' dan diterbitkan sendiri oleh MAY. Sebelum 'Dilema', MAY merakamkan sebuah mini album 'Juara-Juara Rock' mengabdikan enam lagu. Lagu popular bagi album tersebut ialah 'Derita Bangsa', 'Bayangan Hidup' dan Sketsa Sebuah Cinta'. Bagi album 'Dilema', lagu hits adalah 'Ku Dalam Dilema', 'Sketsa Sebuah Cinta' (lagu yang diambil dari Juara-Juara Rock) dan 'Keadilan'. Album kedua MAY yang berjudul 'Hakikat' adalah album yang telah menaikkan nama MAY. Album ini berjaya dijual sebanyak 200 000 unit. Lagu lagu seperti 'Sendiri', Cintamu Mekar Dihati', 'Dari Kacamata' dan 'Hakikat Perjuangan' menjadi hits lantas menjadi siulan anak anak muda diketika itu. Lagu 'Sendiri' juga telah berjaya memasuki pertandingan akhir dalam Muzik-Muzik.

Rahsia adalah nama album MAY yang ketiga. Ia diterbitkan pada tahun 1990. Lagu hits mereka ketika itu adalah 'Gadis Bertudung Putih' dan 'Pahlawan Mimpi'. Lagu lagu heavy mereka dalam album ini seperti 'Pahlawan Mimpi', 'Rahsia Kota' dan 'Black Area' amat diminati ramai. Pada tahun 1991, MAY telah menerbitkan album keempat mereka berjudul 'Strategi'. Lagu hits adalah lagu 'Strategi' dan 'Abadi'. Album ini juga menampilkan satu lagu ala trash yang berjudul 'A.L.A.M' (Aku Lahir Antara Mereka). Mus mengundurkan diri sebagai vokalis utama MAY selepas album ini. Setelah album 'Keras', MAY seolah-olah lenyap dari industri muzik rock tanah air. Yantzen dan Oney pernah menjadi vokalis May selepas ketiadaan Mus. Di tahun 2002, ada khabar khabar angin yang Mus mungkin akan kembali kepada MAY. Mus akan kembali pada asal usulnya menjadi vokalis MAY setelah bergiat secara solo, bersama kumpulan Strangers dan Wings. Pada tahun 2003, khabar angin itu menjadi kenyataan apabila MAY mengumumkan tentang album terbaru mereka 'Sinar' dan Mus kembali menjadi vokalis utama mereka. Album 'Sinar' adalah album yang dinanti nantikan peminat setia MAY kerana MAY telah 'menghilang' selama lima tahun. Album ini dapat sambutan hangat dari peminat muzik rock tempatan. Lagu hits dalam album ini ialah 'Sinar', 'Mai Pen Rai', Ketat dan Sendat dan 'Jiwa Karat'. Lagu 'Sinar' ciptaan Mus telah berjaya memasuki pertandingan akhir Muzik-Muzik pada tahun itu. Album 'Sinar' ini juga telah dinobatkan sebagai 'Album Hard Rock Terbaik 2004' Anugerah Industri Muzik (AIM). MAY masih lagi bergiat aktif sehingga ke hari ini.
Sejarah Kumpulan "LEFTHANDED"


Kumpulan Lefthanded ialah sebuah kumpulan rock yang aktif di Malaysia. Pada asalnya mereka bergelar Kumpulan The Lefthanded tetapi kemudiannya perkataan The digugurkan. Ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 1979. Kumpulan ini terdiri daripada:
1. Man Kidal dari kumpulan Search @ Abdul Rahman Mahmood
2. Samad @ Abdul Samad Mean
3. Nash @ Nashrudin Elias
4. Yan dari kumpulan Search @ Amran Marsiman
5. Man Dayak @ Rahman Othman
6. Firdaus @ 'The Little Bird' M Nasir & The Geng
7. Ramli Sarip satu album 'Fanatisme'
8. Arab @ Syed Azlan Bin Syed Abu Bakar satu album 'Nafas'
Pada asalnya Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) yang menjadi penyanyi utama sehinggalah kemasukan Nash dan melahirkan album pertama Lefthanded iaitu Keadilan. Ketika ini Lefthanded terdiri dari Nash (Vokal), Man Kidal (Gitar), Samad (Gitar), Yan (Bass) & Man Dayak (Drum). Arab merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Johor, dan pernah menjadi ketua pelajar di situ menyertai Lefthanded selepas Ramli Sarip meninggalkan Lefthanded. Samad pemain gitar kedua Lefthanded meninggal dunia pada 23 Oktober 2008, kerana sesak nafas.
Sejarah Kumpulan "RUSTY BLADE"



Kumpulan Rusty Blade merupakan sebuah kumpulan Heavy Metal yang berasal daripada Singapura dan mencipta nama di Malaysia. Kumpulan Rusty Blade telah melahirkan album pertama yang bertajuk 786 Ikrar Perwira pada tahun 1985 yang merupakan album EP. Pada asalnya dianggotai oleh Yantzen (Vokal), Khalid Mubin (Gitar), Mamat (Gitar), Razak (Bass) dan Zan (Drum). Keunikan muzik rock yang mereka bawa telah membuatkan Rusty Blade dilabel sebagai Iron Maiden Singapura! Album kedua Rusty Blade "Rintangan Hidup Dunia" diterbitkan oleh Razzi M (Bekas pemain gitar Black Dog Bone) dikeluarkan pada 1986. Dalam album ini, Izad telah menggantikan Mamat sebagai pemain gitar kedua. Album ini telah menaikan nama Rusty Blade dan terjual sebanyak 100,000 unit. Setelah album ini dikeluarkan, Rusty Blade mula membuat 'roadshow' di serata Semenajung Malaysia. Konsert pertama mereka di Ipoh pada tahun 1987 di Stadium Indra Mulia. Mereka kemudian membuat 'show' di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, mereka telah penuhkan Stadium Negara dengan ribuan peminat dan konsert itu diiktiraf oleh pihak media sebagai 'show' yang terbaik pernah diadakan di Kuala Lumpur. Md.Noor Hendrix telah mengantikan Izad selaku pemain gitar semasa 'roadshow' ini. Pada 1988, album ketiga Rusty Blade "Berat" dihasilkan. Rusty Blade sendiri bertindak sebagai penerbit. Ianya merupakan sebuah album yang benar-benar "heavy" yang mempunyai mutu yang mantap. "Berat" terus menjulang nama Rusty Blade di pesada musik tanah air. Setelah "Berat" berada di pasaran, pemain Bass, Razak meninggalkan kumpulan ini. Rusty Blade mencari pemain bass baru ramai yang dicuba. Akhirnya, Mann Karen dari kumpulan Rockers menggantikan tempat Razak sebagai pemain Bass. Dengan adanya Mann Karen Rusty Blade bertambah baik segi persembahan muzik mereka. Tahun 1989 Rusty Blade menghasilkan album "Awas" ternyata ia sebagai album terakhir Rusty Blade sebelum mereka mengundurkan diri dari dunia seni Malaysia buat seketika.
Sekilas Mengenai Kumpulan "BUMIPUTRA ROCKERS"


Bumiputra Rockers merupakan sebuah kumpulan pop/hard rock yang berasal dari Johor Bahru. Terdiri dari 5 orang ahli yang mana asalnya semua berambut panjang. Bumiputra Rockers merupakan gabungan dari bekas ahli kumpulan pecahan seperti Titanic, Hurricane, Purple Grass dan Split Times, kumpulan ini di ilhamkan oleh Raja Rock Ramli Sarip, dan di urus oleh Wan Redzmann, seorang pelumba kereta terkenal dan bekas pengurus kumpulan Sweet Charity. Kumpulan Bumiputra Rockers adalah sebuah kumpulan penyanyi rock Malaysia yang mula dikenali ramai setelah menyertai "Pesta Hiburan Kingsway". Lagu-lagu hits kumpulan Bumiputra Rockers seperti Seribu Tahun Takkan Mungkin, Harum Subur Di Hati, Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata, Silaturrahim, Setitis Madu, Air Mata Jernih, Ku Tanggung Cinta Dusta Yang Membara, Dendam Cinta Seusia Dunia, Yakjud dan Makjud, Dajal, Pudar Seri Perimadona, dan 1511.
Sekilas Mengenai Kumpulan "FOTOGRAF"


Kumpulan Fotograf adalah sebuah kumpulan penyanyi di Malaysia. Kumpulan Fotograf di tubuhkan pada tahun 1987 oleh empat orang anak muda iaitu: Shamrin (Penyanyi), Amran (Gitar Bass), Abol (Gitar Utama) dan Ringo (Drum). Lagu-lagu hits kumpulan Fotograf seperti Di Alam Fana Cintamu, Luka Seribu Rindu, Nafas Kekasih, Korban Cinta, Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal, Ke Pintu Kasihmu dan Terlena Dalam Jaga.